Pages

Google

Monday, April 21, 2008

TOKOH-TOKOH KORPORAT MUSLIM DI ZAMAN KEGEMILANGAN ISLAM


Oleh sebab perniagaan dan perdagangan merupakan fitrah dan keperluan semula jadi manusia, maka sebab itulah ia wujud serentrak dengan kewujudan manusia diatas muka bumi ini. Di dalam tamadun kuno, perniagaan dan perdagangan telah berlaku dalam bentuk pertukaran barang dengan barang yang dianggarkan oleh ahli sejarah bermula kira-kira 50,000 tahun dahulu.

Di dalam masyarakat primitif, kegiatan perdagangan telah pun wujud dengan pesatnya. Batu kulit kerang dan lain-lain telahpun dijadikan sebagai ganti bagi wang. Dalam tamadun kuno pula emas, perak dan tembaga telah digunakan sebagai alat pengganti wang. Penggunaan wang kertas mula diamalkan pada abad ke 13.

Arab Sebelum Islam

Sebelum zaman kelahiran Islam, bangsa Arab telahpun muncul sebagai golongan pedagang yang amat handal yang mempunyai pengalaman, kemahiran dan telah menguasai jalan perdagangan dunia iaitu di Eropah, China, India, Parsi dan Afrika. Semenanjung Tanah Arab tealah menjadi pusat perdagangan dunia yang didatangi oleh pedagang dari seluruh pelosok dunia.

Pedagang Parsi, India dan Rom terpaksa merentasi Laut Merah, Teluk Parsi dan Semenanjung Tanah Arab untuk menjalankan kegiatan perdagangan ketika itu. Justeru itulah pedagang-pedagang Arab menguasai jalan perdagangan ke utara iaitu Palestin dan Syria, ke timur iaitu ke Coromandel, Sri Lanka dan Lautan Hindi, Asia Tenggara, Balkh, Laut Caspia, Laut Hitam dan Laut Merah.

Selepas kemunculan Islam, Mekah telahpun lahir sebagai pusat ibadah yang terpenting di Semenanjung Tanah Arab yang didatangi oleh orang Arab setiap tahun untuk mengerjakan haji. Ia menjadi penting kerana kekuasaan politik kaum Quraisy menjadikan Mekah sebagai pusat ibadat haji yang aman dan selamat dari pertarungan kabilah. Sekaligus Mekah juga muncul sebagai pusat perdagangan ketika mengerjakan haji. Keamanan dan keselamatan di Mekah yang terjamin sebagai pusat ibadat, terselamat dari rompakan dan kecurian serta kecurangan telah menarik ramai pedagang untuk menjalankan perdagangan di situ.

Terdapat beberapa faktor yang membantu Mekah muncul sebagai pusat perdagangan:
a. Kedudukannya yang startegik dari segi geografi dan terletak ditengah-tengah laluan perdagangan dunia. Timur dan barat, utara dan selatan.
b. Pusat pertukaran, import dan eksport serta pusat pengedaran barangan dari seluruh dunia.
c. Pusat perdagangan bebas cukai terhadap semua jenis barangan.
d. Pusat perdagangan yang aman dan tenteram dari sebarang gangguan, rompakan dan kacau bilau.
e. Mekah dikuasai oleh kaum Quraisy yang merupakan kabilah yang paling dihormati serta kabilah yang bertanggungjawab menjaga tempat suci Ka’abah.
f. Pusat untuk mengerjakan ibadat haji yang sentiasa dikunjungi oleh orang Arab dari seluruh dunia.

Kaum Quraisy mendapat tiga keistimewaan yang dimilikinya di Mekah pada ketika itu:
a. Ia dapat menguasai semua kabilah yang lain. Memudahkannya menjalankan pengurusan Ka’abah.
b. Ia memberikan kekuasaan dan keuntungan dalam perdagangan. Kedudukan dan keistimewaan yang dikuasai oleh Quraisy menyebabkan raja-raja negeri jiran sentiasa mewujudkan hubungan baik untuk mendapatkan kebenaran menjalakan perdagangan dan lalu lintas di Semenanjung Tanah Arab.
c. Mendapat peluang untuk mengadakan perjanjian perdagangan yang banyak.

Bangsa Arab menikmati pelbagai keuntungan dan faedah daripada perdagangan. Ia memperkayakan tamadun dan kebudayaan bangsa Arab seperti mengimport khat dari Iraq yang kemudiannya memudahkan bangsa Arab yang menerima Islam untuk membukukan al-Quran. Sedangkan sebelum itu bangsa Arab belum lagi memiliki sebarang tulisan yang standard. Kaum Quraisy akhirnya muncul sebagai golongan yang terpelajar dan maju yang turut meningkatkan pencapaian Mekah sebagai pusat ibadat yang berkat dan perdagangan yang makmur setelah kemunculan Islam.

Sebagai bukti yang menunjukkan perkembangan perdagangan yang pesat sebelum Islam di Semenanjung Tanah Arab, di bawah ini disenaraikan nama-nama pasar yang wujud ketika itu:

a. Zumatul Jandal yang terletak dekat sempadan Syria, hujung utara Hijaz. Ia dibuka setahun sekali iaitu pada tiap-tiap bulan Rabiulawal selama sebulan yang dikunjungi oleh pedagang dari jauh dan dekat.
b. Mushaqqar yang merupakan pusat membeli belah dan pekan yang terletak di Hijar (Bahrain) yang dibuka setahun sekali, dalam bulan Jamadilawal.
c. Suhar iaitu sebuah pekan di Oman yang dibuka selama 15 hari dalam bulan Rejab.
d. Daba yang terletak berhampiran pantai Oman yang dibuka pada setiap hujung bulan Rejab. Ia dikunjungi oleh pedagang dari China dan India disamping dari Semenanjung Tanah Arab.
e. Shihr (Maharah) iaitu pekan yang terletak antara Aden dengan Oman yang terkenal dengan minyak wangi dengan jenama ‘Ambar’. Ia dibuka selama 15 hari pada awal hingga 15hb Syaaban.
f. Aden iaitu pasar yang dikunjungi oleh pedagang dari timur dan selatan yang dibuka pada awal bulan hingga 10hb Ramadhan.
g. San’a iaitu ibu negeri Yaman yang dibuka selama 10 hari, akhir bulan Ramadhan.
h. Rabiyyah iaitu pekan di Hadramaut yang dibuka selama sebulan yang bermula dari 15hb Zulkaedah.
i. Ukaz merupakan sebuah pekan yang terletak di atas pekan Najad yang dibuka mulai 15hb Zulkaedah selama sebulan yang dikunjungi oleh kabilah Quraisy, Kawazin, Ghatafan, Aslam, Ahabish, Adl, al-Haya dan al-Mustaliq.
j. Zul Majaz iaitu pekan kecil yang kedudukannya berdekatan dengan pekan Ukaz yang dibuka selama seminggu, bermula dari awal bulan hingga 7hb Zulhijjah.
k. Mina iaitu pasar kecil yang dibuka sepanjang musim haji sahaja.
l. Nazat iaitu sebuah pasar di Khaibar yang beroperasi selama 20 hari, dari 10 hingga akhir bulan Muharram.
m. Hijr iaitu pekan kecil di Yamamah yang beroperasi selama 20 hari dari 10 hingga akhir bulan Muharram.

Bangsa Arab memiliki begitu banyak pasar sebagai bukti kepesatan perkembangan perdagangan. Mereka juga mempunyai sistem dan jadual kegiatan perdagangan disepanjang tahun. Hal ini sekali lagi membuktikan bahawa mereka merupakan golongan pedagang yang dedikasi dan berjaya.

Zaman Rasulullah SAW.

Belum ada agama yang dapat mengatasi Islam dalam memberikan kedudukan dan keistimewaan pada perdagangan sehingga menyamakannya dengan ibadat sembahyang dan haji asalkan berlunaskan aqidah, syariah dan akhlak. Ia bukan sebadar disarankan dan digalakkan oleh al-Quran secara teori, malah dipraktikkan dalam bentuk alam nyata oleh Rasulullah SAW. Sesunggunhya Rasulullah SAW. dan zamannya merupakan contoh terbaik dalam perlaksanaan ajaran Islam khasnya dalam perdagangan, masyarakat, politik dan sebagainya.

Sesungguhnya semasa baginda diangkat Menjadi Rasul, Mekah telah pun muncul sebagai pusat ibadat dan perdagangan yang terpenting di dunia pada ketika itu. Disamping faktor-faktor yang telah dijelaskan sebelum ini, keadaan alam dan bumi tanah Arab yang kering kontang tidak sesuai untuk kegiatan ekonomi lain kecuali perdagangan. Sebab itulah bangsa Arab memelihara kepentingan perdagangan sebagai menatang minyak yang penuh kerana ia merupakan periuk nasi mereka. Hal ini diakui oleh Allah SWT. Yang bermaksud:

“Oh Tuhan kami, aku telah menetapkan sebilangan daripada keturunanku disebuah lembah kering yang tidak ada tanaman, di dekat rumah suci-Mu.”

Rasulullah SAW. Secara peribadi telah menunjukkan teladan yang terbaik dalam melaksanakan perintah al-Quran agar umatnya rajin bekerja dan kerja itu diterima sebagai sebahagian daripada ibadat asalkan cara, barangan dan perbelanjaannya mendapat keredaan Allah SWT. Baginda membuktikan bidang pertanian iaitu penternakan dan perdagangan sebagai saudagar merupakan sumber rezeki dan pekerjaan yang terbesar dan terpenting

Baginda bernasib baik kerana dipelihara oleh Abu Talib yang merupakan saudagar Arab yang kaya ketika itu yang mengetuai satu kafilah perdagangan. Baginda pernah dibawa untuk menjalankan perdagangan ketika masih berumur 12 tahun. Walaupaun usianya masih muda, tetapi baginda memperlihatkan minat yang amat tinggi dan tidak gentar menghadapi kesukaran serta cabaran.

Ketika Baginda berusia 20 tahun, kemahiran dan pengalaman perdagangannya tidak diragukan lagi apabila beliau telah menjalankan perdagangan sama ada secara kongsi dengan Asy Syaib atau menggunakan modal orang lain iaitu modal Siti Khadijah atau secara berseorangan. Setiap kali perdagangan yang dijalankan oleh Baginda, keuntungan yang lumayan menjadi milik Baginda. Punca kejayaaan perdagangan Baginda ialah kegigihan, dedikasi, kesabaran dan yang lebih utama ialah amanah dan kejujuran sehingga Baginda lebih terkenal sebagai saudagar yang jujur dan amanah iaitu al-Amin. Destinasi perdagangan Baginda ialah Syria, Yaman dan Bahrain.

Zaman Para Sahabat.

Pada zaman para sahabat atau khulafa al-Rasyidin, Islam telahpun berjaya membentuk sebuah kerajaan yang paling kukuh dan paling luas di dunia dari segi wilayahnya. Dengan keamanan dan keluasan wilayah ini, hasil negara Islam begitu banyak dan negara Islam merupakan yang paling makmur di dunia sehingga di zaman Umar al-Khattab sebagai khalifah Islam yang kedua sukar untuk mencari peminta sedekah untuk diberikan wang baitulmal. Dengan kekayaan itu, pembangunan negara Islam dapat dilaksanakan seperti memperbaiki sistem pos, membina banyak rumah tumpangan, membina jalan raya yang lebih baik, jambatan yang lebih kukuh, membina banyak pasar, pelabuhan dan pusat industri.

Madinah, Kufah, Basrah, Fustat, Damsyik, Mosul dan lain-lain telah muncul sebagai pusat perdagangan antarabangsa yang paling sibuk dengan kegiatan perdagangannya. Juga muncul pusat-pusat perindustrian yang mengeluarkan kertas, ulat sutera, tembikar, barang kemas, keluli, barang kulit, permaidani, tekstil dan sebagainya yang dieksport keseluruh dunia.

Abu Bakar al-Siddiq, Walid, Abdul Rahman bin Auf, Haris bin Amr, Abbas dan lain-lain lagi merupakan tokoh-tokoh saudagar Islam yang terkaya yang dihormati dan disegani. Kota raya Baghdad, Fustat, Toledo, Cordova dan lain-lainnya telahpun mempunyai penduduk yang melebihi satu juta orang menjadi saksi kemakmuran dan kepesatan perkembangan perdagangan pada zaman itu. Saudagar-saudagar Islam telah mengembara ke Siberia, Turkistan, Qairawan dan tiada pelosok dunia yang tidak dijelalah oleh mereka. Di samping menjalankan perdagangan, mereka juga menjalankan fungsi yang lebih suci iaitu menyebarkan dakwah Islamiyyah. Jalan perdagangan seluruh dunia dikuasai oleh bangsa Arab sebelum Islam diperkukuhkan lagi oleh Islam di zaman Rasulullah SAW. dan para sahabat.

TOKOH-TOKOH KORPORAT MUSLIM

Ramai sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w. yang telah berjaya sebagai pedagang dan peniaga walaupun pada awalnya mereka menghadapi banyak kesukaran dan rintangan. Malah boleh dikatakan bahawa Rasulullah telah berjaya melahirkan satu masyarakat perdagangan yang tumbuh dengan cepat selepas penghijrahan baginda ke Madinah.

Rasulullah sebagai ketua negara telah memberikan motivasi dan galakan kepada rakyat negara Islam dalam hal perdagaangan. Sabda nabi yang bermaksud:

“Didorong atas kamu ialah perniagaan kerana di dalamnya ialah sembilan persepuluh daripada rezeki.


Othman Bin Affan

Beliau merupakan seorang sahabat yang mempunyai latarbelakang pendidikan yang baik dan merupakan di antara sejumlah kecil yang mampu membaca dan menulis di Mekah. Apabila beliau dewasa beliau telah membabitkan diri dengan kegiatan perniagaan dan berjaya memperolehi keuntungan yang banyak.

Apabila beliau berhijrah ke Madinah beliau telah membantu umat Islam yang dalam kesusahan dengan membeli sebuah telaga kepunyaan seorang Yahudi dengan harga 35,000 dirham kerana orang Yahudi tidak membenarkan orang Islam menggunakannya.


Zubair Bin Awwam

Semasa hijrah Rasulullah s.a.w. ke Madinah Zubair telah pergi ke Syria untuk berniaga. Kemudian beliau mengikut jejak Rasulullah s.a.w.ke Madinah dan meninggakan segala hasil perniagaannya di Mekah.

Semasa beberapa tahun di Madinah Zubair hanya memperolehi pendapatan yang sedikit dari bidang pertanian. Dia terpaksa menghadapi banyak rintangan dan dugaan. Kemudian berkat kesabaran dan ketabahan beliau telah memulakan bidang perniagaan dan akhirnya menjadi orang kaya di Madinah.

Abdul Rahman Bin Auf

Beliau merupakan seorang pedagang yang cekap dan pandai berniaga. Beliau merupakan pedagang yang terkaya di Mekah. Apabila beliau memeluk Islam beliau telah meninggalkan segala hartanya dan ikut berhijrah ke Madinah.

Sampai di Madinah beliau terus mencari pasar untuk berniaga dan mampu bersaing dengan golongan pedagang yang sudah lama berdagang disana dan kemudian menjadi kaya.

Pernah seseorang bertanya kepada Abdul Rahman Bin Auf: “Apakah sebabnya maka tuan menjadi kaya?” Abdul Rahman Bin Auf menjawab: “Kerana tiga perkara: Aku tidak pernah menolak keuntungan walaupun sedikit. Aku tidak pernah melambatkan penjualan haiwan daripada orang yang memintanya daripadaku. Dan aku tidak menjual dengan tangguhan pembayaran.”

Dalam satu riwayat dikatakan bahawa Abdul Rahman Bin Auf menjual seribu ekor unta. Dari perniagaan itu beliau hanya mengambil keuntungan dari tali pengikatnya sahaja. Lalu dijualnya setiap tali itu dengan harga satu dirham, maka beliaupun memperolehi keuntungan satu dirham dari seekor unta. Tetapi dalam satu hari beliau berjaya menjual keseluruhan untanya dan memperolehi keuntungan sebanyak seribu dirham.

Source: Sylibus IPK 502 UITM SHAH ALAM

0 comments: